SUBANG: Keberangkatan pulang Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah menandakan penutup rasmi Lawatan Negara selama tiga hari ke Malaysia, yang berlangsung penuh mesra dan bersejarah.
Pesawat khas yang membawa Sultan Brunei bersama DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah selamat berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 3 petang, Rabu (27 Ogos).
Menambah seri kepada detik perpisahan itu, YAM Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor, turut berkenan mengiringi keberangkatan pulang Baginda Sultan, sebagai simbol penghormatan dan persaudaraan diraja antara Johor dan Brunei.
Turut hadir mengiringi keberangkatan ialah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Menteri Komunikasi merangkap Menteri Pengiring, Datuk Ahmad Fahmi Fadzil.
Lawatan Negara Sultan Hassanal Bolkiah ke Malaysia bermula 25 Ogos lalu atas undangan rasmi Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
Sepanjang lawatan, Baginda menghadiri istiadat sambutan negara di Istana Negara, mengadakan pertemuan empat mata dengan Perdana Menteri serta menyertai Rundingan Tahunan Pemimpin Malaysia-Brunei ke-26 (ALC) di Putrajaya.
Keberangkatan pulang Baginda bukan sekadar menutup lembaran lawatan rasmi tetapi turut memperkukuh hubungan dua hala yang telah lama terjalin antara Malaysia dan Brunei.