Sultan Brunei Hubungi Anwar, Titip Doa Dan Salam Persaudaraan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima panggilan telefon daripada Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan, tengah hari tadi.

Menurut kenyataan yang dikongsi oleh Perdana Menteri, panggilan tersebut bukan sekadar bertanya khabar, malah disertai dengan doa dan harapan yang tulus daripada Baginda Sultan buat kesejahteraan beliau.

“Baginda dengan penuh takzim bertanya khabar dan mendoakan kesihatan serta kesejahteraan saya.

“Menjunjung kasih atas doa dan keprihatinan Tuanku,” katanya.

Dalam semangat persaudaraan serumpun, Anwar turut membalas doa tersebut dengan penuh hormat dan kasih.

“Saya turut mendoakan agar KDYMM Tuanku sentiasa dikurniakan kesihatan yang baik serta berada dalam lindungan dan rahmat Allah SWT,” tambah beliau.

Hubungan peribadi yang akrab antara kedua-dua pemimpin sering menjadi asas kepada kerjasama dua hala yang kukuh, merangkumi pelbagai bidang termasuk ekonomi, pendidikan dan kebajikan rakyat.

Anda Mungkin Berminat