SUBANG: Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah berangkat tiba di Malaysia hari ini bagi memulakan Lawatan Negara selama empat hari hingga Khamis, atas undangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Pesawat khas yang membawa Sultan Hassanal Bolkiah bersama delegasi diraja termasuk Pengiran Muda ‘Abdul Mateen Bolkiah, menteri-menteri Kabinet dan pegawai kanan kerajaan Brunei mendarat di Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang pada pukul 3.03 petang.
Ketibaan baginda disambut mesra oleh Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim serta turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil.
Sejurus mendarat, Sultan Hassanal Bolkiah berkenan memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 28 pegawai dan anggota Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (Istiadat), diketuai Kapten Muhammad Asyraf Zulkifli.
Lawatan ini merupakan sebahagian daripada Rundingan Pemimpin Tahunan Malaysia–Brunei ke-26 (ALC), satu mekanisme dua hala tertinggi yang menjadi wadah penting bagi kedua-dua negara menilai kemajuan kerjasama, menangani isu berbangkit dan bertukar pandangan mengenai hal serantau serta antarabangsa.
Malaysia dan Brunei berkongsi hubungan diplomatik yang erat sejak sekian lama, diperkukuh melalui kerjasama dalam bidang perdagangan, tenaga, pendidikan, keselamatan dan budaya.
Pada tahun 2024, Brunei merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia dalam kalangan negara ASEAN dengan jumlah dagangan mencecah RM7.53 bilion.
Bagi tempoh Januari hingga Jun 2025, dagangan dua hala bernilai RM3.02 bilion.
Sepanjang lawatan ini, Sultan Hassanal Bolkiah dijadual menghadiri Istiadat Sambutan Negara di Istana Negara, menghadap Yang di-Pertuan Agong, menghadiri Majlis Santapan Negara serta mengadakan pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 27 Ogos.