Sultan Ibrahim, Agong Pertama Laksana Lawatan Negara Ke Rusia Hari Ini

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan berangkat ke Rusia bagi mengadakan lawatan negara dari 5 hingga 10 Ogos atas jemputan rasmi Presiden Vladimir Putin, sekali gus melakar sejarah sebagai Agong pertama Malaysia yang menjejakkan kaki ke Kremlin dalam kapasiti rasmi.

Menurut kenyataan media Istana Negara hari ini, lawatan bersejarah itu menandakan pencapaian penting dalam hubungan diplomatik Malaysia-Rusia yang telah terjalin sejak tahun 1967.

“Lawatan ini turut melambangkan peranan penting Institusi Diraja Malaysia sebagai pemacu diplomasi negara,” menurut kenyataan itu.

Lawatan itu dijangka memperkukuh hubungan dua hala sedia ada dan membuka ruang kerjasama baharu dalam pelbagai bidang strategik seperti perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan sesama rakyat.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia juga memainkan peranan penting dalam mempererat kerjasama strategik dengan Rusia, yang telah menjadi Rakan Dialog ASEAN sejak 1996.

Di Moscow, Seri Paduka Baginda akan disambut secara rasmi oleh Presiden Putin dalam satu Istiadat Sambutan Negara di Kremlin, diikuti dengan pertemuan rasmi antara kedua-dua Ketua Negara.

“Seri Paduka Baginda turut berangkat menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan dihoskan oleh Presiden Persekutuan Rusia,” kata kenyataan itu.

Selain itu, Baginda dijadualkan melawat dua pusat teknologi utama Rusia iaitubPusat Pembangunan Teknologi Automotif (NAMI) dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh kerjasama dalam bidang inovasi dan pembangunan teknologi.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut hadir mengiringi Seri Paduka Baginda ke Istiadat Mengucap Selamat Berangkat sempena lawatan tersebut.

Beliau menyifatkan lawatan itu sebagai satu langkah strategik yang memperkukuh hubungan antarabangsa Malaysia.

“Lawatan ini membuka lembaran baharu dalam hubungan dua hala antara Malaysia dan Rusia dan dijangka merancakkan kerjasama strategik dalam pelbagai bidang termasuk perdagangan dua hala, pelaburan, pendidikan tinggi, teknologi dan inovasi serta hubungan antara rakyat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

“Malaysia berpotensi menarik pelaburan serta teknologi baharu daripada Rusia khususnya dalam sektor tenaga, aeroangkasa, pertahanan dan pertanian pintar sejajar dengan agenda Ekonomi MADANI yang menekankan daya saing, kemampanan dan kemakmuran bersama,” tambahnya.

Pada masa yang sama, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri, mewakili seluruh warga penjawat awam turut merafakkan doa agar keberangkatan Seri Paduka Baginda sentiasa dilimpahi rahmat dan dipermudahkan segala urusan rasmi di bumi Rusia.

“Patik turut mendoakan agar seluruh rombongan Diraja sentiasa berada dalam lindungan dan peliharaan Ilahi serta kembali semula ke tanah air dengan selamat dan keafiatan,” ujarnya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anda Mungkin Berminat