Sultan Ibrahim Catat Sejarah, Jadi Agong Pertama Lakukan Lawatan Negara ke Russia

PETALING JAYA: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bakal mencatat sejarah tersendiri apabila berkenan mengadakan Lawatan Negara ke Persekutuan Russia bermula 5 hingga 10 Ogos ini, atas jemputan Presiden Vladimir V. Putin.

Lawatan rasmi itu menjadikan baginda sebagai Ketua Negara Malaysia pertama mengadakan Lawatan Negara ke Russia sejak hubungan diplomatik kedua-dua negara dimeterai pada tahun 1967.

Menurut kenyataan Istana Negara, lawatan bersejarah ini mencerminkan peranan aktif institusi Diraja dalam memperkukuh diplomasi dua hala, selain membuka lembaran baharu kerjasama strategik antara Malaysia dan Russia dalam pelbagai bidang.

“Lawatan ini bukan sahaja memperkukuh hubungan sedia ada, malah membuka peluang baharu dalam sektor perdagangan, pendidikan tinggi, teknologi, inovasi serta hubungan sesama rakyat,” menurut kenyataan itu.

Sebagai Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia turut memainkan peranan signifikan dalam mempererat hubungan serantau bersama Rusia yang merupakan Rakan Dialog ASEAN sejak 1996.

Semasa di Moscow, baginda akan disambut dalam Istiadat Sambutan Negara di Kremlin dan dijadual mengadakan pertemuan rasmi dengan Presiden Putin serta menghadiri Majlis Santapan Negara.

Baginda turut berkenan melawat Pusat Pembangunan Teknologi Automotif Rusia (NAMI) dan Hub Teknologi dan Inovasi Tochka Kipeniya.

Seterusnya, pada 8 Ogos, Sultan Ibrahim akan berangkat ke Kazan, Republik Tatarstan, bagi menerima menghadap Rais Republik Tatarstan, Rustam Minnikhanov, selain melawat kemudahan pembuatan dan pemasangan helikopter di wilayah majoriti Islam itu.

Lawatan ini dijangka memperkukuh hubungan diplomatik Malaysia-Rusia dan membuka potensi kerjasama ekonomi lebih luas pada masa hadapan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat