ALOR SETAR: Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah bertitah, agar sebarang usaha mempolitikkan isu agama dihentikan serta-merta kerana boleh mencetuskan perpecahan dalam masyarakat.
“Beta dengan tegas melarang sebarang usaha mempolitikkan isu agama termasuk cubaan pihak tertentu yang mengambil kesempatan demi kepentingan sempit sehingga boleh memecah-belahkan masyarakat,” titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika merasmikan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, Mesyuarat Pertama, Penggal Keempat, DUN Kedah ke-15 di Wisma Darul Aman.
Sultan Sallehuddin turut mengingatkan agar institusi keagamaan tidak disalahgunakan untuk kepentingan peribadi atau dijadikan wadah politik.
Baginda menyeru pihak berkuasa bertindak tegas dan proaktif dalam penguatkuasaan undang-undang khususnya berkaitan rumah ibadat yang dibina tanpa kelulusan sah.
“Beta memandang serius isu rumah ibadat bagi semua agama yang dibina tanpa kelulusan sah, sama ada pencerobohan ke atas tanah kerajaan atau tanah persendirian.
“Sebarang tindakan yang mengetepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi,” titah baginda lagi.
Dalam titahnya, baginda menekankan bahawa agenda pembangunan negeri mesti berpandukan undang-undang dan peraturan kerana ia berkait langsung dengan perpaduan yang menjadi asas kestabilan negeri dan negara.
“Sebagai sebuah negeri yang mempunyai rakyat berbilang agama dan kaum, keharmonian tidak boleh dipandang remeh, sebaliknya perlu dipupuk melalui sikap saling hormat-menghormati serta memahami batas sensitiviti masing-masing,” titah baginda.








