IPOH: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah Ibni Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah Al-Maghfur-Lah, berkenan merasmikan Menara Air Perak dalam satu majlis penuh istiadat yang berlangsung di Basco Avenue @ Kepayang, pada Isnin.
Baginda diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim serta turut berangkat Raja Muda Perak, Raja Jaafar; Raja DiHilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain dan Raja Puan Muda Perak, Tunku Soraya bagi menyerikan acara bersejarah tersebut.
Majlis turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bersama isteri, barisan pimpinan kerajaan negeri, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri serta pengurusan tertinggi Lembaga Air Perak (LAP), sebagai tanda sokongan terhadap pembangunan infrastruktur negeri.
Menurut Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, diikuti bacaan al-Quran dan doa.
“Sultan Nazrin kemudian menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak sebagai simbolik pelancaran rasmi menara berkenaan.
“Baginda berdua seterusnya berkenan melawat pameran, bergambar kenangan dan menghadiri majlis santapan sebelum meneruskan lawatan ke sekitar menara,” menurut hantaran di Facebook.
Untuk info, Menara Air Perak setinggi 14 tingkat itu menelan kos RM92 juta dan mula dibina pada Mac 2016.
Projek itu siap sepenuhnya pada Februari 2023 dan mula beroperasi sejak Mac 2023.
Bangunan moden tersebut menempatkan pelbagai kemudahan termasuk pejabat pentadbiran, pusat kawalan (command centre), dewan bankuet, surau, taska dan gimnasium.
Ia juga berfungsi sebagai ibu pejabat baharu LAP bagi memperkukuh pengurusan sumber air negeri secara lebih efisien dan bersepadu.
Menara Air Perak kini menjadi mercu tanda baharu negeri, melambangkan kecemerlangan infrastruktur dan harapan masa depan seiring aspirasi Perak Sejahtera 2030, yang menekankan pembangunan inklusif dan mampan.