KUANTAN: Dalam suasana penuh adat istiadat diraja, Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada Selasa berkenan mengurniakan darjah kebesaran dan pingat kepada 50 individu sempena ulang tahun keputeraan baginda yang ke-66.
Istiadat berlangsung di Istana Abdulaziz, Kuantan, dengan kehadiran Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah, menambah seri majlis yang penuh bermakna itu.
Mendahului senarai penerima Darjah Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri ialah Hakim Utama Mahkamah Tinggi Kuantan, Datuk Seri Mohd Radzi Harun.
Turut menerima darjah sama ialah Ketua Setiausaha Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Mad Zaidi Mohd Karli; Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Seri Wira Ir. Roslan Ismail; dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Seri Dr Mahathar Abd Wahab.
Baginda turut mengurniakan Darjah Sri Indera Mahkota Pahang (SIMP) kepada Datuk Indera Khairul Anuar Abdul Rahman, manakala sembilan individu menerima Darjah Sultan Ahmad Shah Pahang (DSAP), termasuk Hakim Mahkamah Tinggi Temerloh, Datuk Julia Ibrahim dan Profesor Madya Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Hashim.
Seramai 19 penerima pula dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP), antaranya Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Presiden Persatuan Wartawan Wanita Malaysia (PERTAMA), Datuk Sarihah Mohd Ali.
Majlis turut menyaksikan pengurniaan beberapa darjah lain seperti SAP, SMP, AAP, AMP dan Pingat Khidmat Cemerlang (PKC) kepada anggota polis, pegawai kerajaan serta tokoh masyarakat yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing.








