PETALING JAYA: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, pada Jumaat berkenan menyempurnakan Majlis Perasmian Pusat Hemodialisis Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) di Bukit Jalil.
Majlis itu menandakan pembukaan rasmi cawangan keenam Pusat Hemodialisis YASA, hasil ilham baginda dalam memastikan rakyat, khususnya golongan B40 dan asnaf, mendapat akses rawatan dialisis percuma dan berkualiti di persekitaran yang selesa.
Pusat tersebut dibangunkan hasil kerjasama strategik YASA dan Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), dengan MAIWP menyumbang bangunan serta kemudahan perubatan, manakala PERKESO menyalurkan 10 mesin dialisis bagi memperkukuh jaringan perkhidmatan rawatan di bawah YASA.
Sebagai simbolik perasmian, baginda berkenan menyaksikan penyerahan cek cura MAIWP dan PERKESO, masing-masing bagi penubuhan pusat serta sumbangan peralatan dialisis.
Baginda turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara YASA dan PERKESO yang memperluas kerjasama strategik dalam memperkukuh skim bantuan kesihatan dan kebajikan sosial di seluruh negara.
Melalui MoU itu, kedua-dua pihak akan melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk saringan penyakit tidak berjangkit (NCD), perkhidmatan pemulihan, serta sokongan psikososial kepada pencarum PERKESO dan golongan berkeperluan khas.
Selepas majlis, baginda berkenan meninjau kemudahan rawatan di pusat tersebut serta menyantuni pesakit dan petugas sebelum menunaikan Solat Jumaat bersama jemaah di Masjid Talhah Bin Ubaidillah.
Baca juga:








