Sultan Pahang Titah Perkasa Sektor Pertanian Di Pulau Tioman

PULAU TIOMAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah, menzahirkan hasrat agar sektor pertanian di Pulau Tioman diperkasa secara menyeluruh demi memperkukuh ekonomi serta menjamin bekalan makanan masyarakat tempatan.

Baginda bertitah, bahawa projek pembangunan pertanian yang dirancang di pulau peranginan itu amat penting dan diharapkan menjadi sebuah ‘success story’ serta penanda aras kepada kawasan lain di negeri Pahang.

Menurut Baginda, kebergantungan sepenuhnya kepada bekalan makanan dari tanah besar bukanlah pendekatan yang wajar, sebaliknya Pulau Tioman perlu berusaha membangunkan kapasiti pengeluaran makanan sendiri.

“Sebab pertanian ini, saya rasa ada keperluan untuk masyarakat tempatan.

“Kita tidak boleh mengharap bahan-bahan makanan daripada tanah besar. Jangan kata tanah tak cukup. Tanah itu ada, mencukupi tetapi tenaga kerja yang perlu diperkasakan.

“Sikap dan pemikiran juga perlu berubah,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian ketika menyempurnakan Pelancaran Projek Hidroponik Pintar di Kampung Tekek, yang turut disertai YAM Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Dalam titahnya, Baginda menekankan bahawa anak-anak muda Pulau Tioman perlu tampil ke hadapan dan menceburi bidang pertanian secara serius termasuk mendapatkan bimbingan serta latihan teknikal bagi meningkatkan kemahiran dan pengetahuan.

Baginda turut menyeru agar tanah-tanah terbiar di setiap kampung dikenal pasti dan diusahakan semula untuk tujuan pertanian.

“Perbincangan juga boleh diadakan dengan pihak berkaitan termasuk pemilik tanah pusaka dan agensi Persekutuan sekiranya melibatkan tanah di bawah bidang kuasa tertentu.

“Jangan beri alasan tiada tanah. Tanah ada, cuma perlu diurus dan diusahakan dengan betul. Mana-mana tanah yang sesuai, kita bincang dan majukan untuk pertanian,” titah Baginda.

Baginda turut memaklumkan bahawa perbincangan telah diadakan bersama wakil rakyat berkaitan usaha memperkasa sektor makanan termasuk penanaman padi di tanah besar sebagai langkah jangka pendek sebelum Pulau Tioman mampu mengurus dan mengeluarkan hasil makanan sendiri secara lebih tersusun.

Sehubungan itu, Baginda berharap dalam tempoh setahun akan datang, perubahan positif dapat dilihat termasuk pembukaan kawasan baharu untuk aktiviti pertanian di pulau berkenaan.

Sebagai tanda komitmen, Baginda bertitah akan berangkat melawat setiap kampung di Pulau Tioman dalam tempoh setahun bagi meninjau sendiri perkembangan dan pelaksanaan inisiatif tersebut.

Anda Mungkin Berminat