KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah agar suspek yang membunuh seorang wanita yang juga peniaga makanan segera diheret ke muka pengadilan.
Titah baginda, perbuatan suspek itu disifatkan kejam dan tidak berperikemanusiaan.
“Baginda mahu suspek segera diberkas dan hukuman setimpal dikenakan jika disabitkan atas kesalahan membunuh,” titah baginda menerusi kenyataan di laman media rasmi Kesultanan Pahang pada Jumaat.
Baginda bertitah demikian selepas berkenan bercemar duli berangkat menziarahi keluarga mangsa bunuh di Unit Forensik, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) pagi tadi.
Semalam, seorang wanita yang juga peniaga makanan ditemui maut disyaki dibunuh di tepi Sungai Kuantan berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur.
Berita penemuan mayat wanita itu mendapat perhatian baginda yang berkenan berangkat ke HTAA diiringi Tengku Ampuan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama Tengku Mahkota Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah.
Dalam kunjungan tersebut juga, Al-Sultan Abdullah sempat menitipkan titah nasihat dan kata-kata semangat buat suami mangsa, Mohammad Afiq Akmal Nudin, 31, yang masih dilanda kesedihan.
Dalam pada itu, polis sudah mengenal pasti identiti suspek dan kini giat mengesan lelaki berusia 37 tahun itu yang menetap di sekitar daerah ini bagi membantu siasatan.
Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman berkata, suspek turut mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan tidak mempunyai hubungan dengan mangsa yang juga ibu kepada seorang anak lelaki.