KUANTAN: Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah bertitah agar kurikulum di semua madrasah dan pondok di negeri itu diselaraskan untuk memastikan tiada pelajar yang ketinggalan dari segi pencapaian akademik.
Baginda mengingatkan kepada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Negeri Pahang (MUIP), Yayasan Pahang, Universiti Islam Pahang Sultan Ahmad Shah (UniPSAS) dan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) untuk bergabung tenaga membantu maahad tahfiz dan pondok yang berada dalam keadaan daif.
“Baru-baru ini saya telah berjumpa dengan semua pengetua, 190 tahfiz, madrasah dan pondok seluruh Negeri Pahang.
“Malangnya sebahagian pondok atau madrasah ada yang baik, ada kurang baik, ada yang daif dan ada yang sangat daif,” titah Baginda.
Baginda bertitah demikian pada Majlis Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Maahad Tahfiz Negeri Pahang 2024 di Hotel Zenith di sini pada malam tadi.
Baginda berkenan mengurniakan anugerah kepada 52 pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) yang memperoleh keputusan cemerlang semua A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.
Pada majlis berkenaan, dua pelajar MTNP iaitu Akif Ibrahim dan Nur Amelia Diyana Azman turut menerima anugerah kecemerlangan atas pencapaian 11A+ dalam SPM.
Keberangkatan Baginda diiringi oleh Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah bersama-sama Tengku Panglima Raja Brigedier Jeneral Tengku Amir Nasser Ibrahim Shah dan Che Puan Panglima Puteri Suraiya Afzan.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian MTNP yang kini dikenali atas kecemerlangan pendidikan yang berjaya dilakar.
“Saya cukup kagum, bangga, terharu, sayang dan hormati institusi ini. Saya harap pada tahun-tahun hadapan terus kekal di tahap terbaik sekali di Pahang dan juga negara ini serta dikenali di peringkat lebih tinggi,” titah Baginda.
Baginda menegaskan bahawa pencapaian sebagai institusi paling cemerlang di Malaysia perlu dikekalkan.
“Kita tidak boleh leka, kena maintain standard kerana setiap pelajar yang datang adalah pelajar yang komited untuk kekalkan MTNP sebagai sebuah institusi yang boleh dibanggakan,” titah Baginda.