Sultan Perak Berkenan Rasmi Jambatan Sultan Muzzaffar Shah

KUALA KANGSAR: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, berkenan merasmikan Jambatan Sultan Muzzaffar Shah di Dataran Amanjaya Manong, diiringi Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, serta barisan kepimpinan negeri dan persekutuan.

Majlis dimulakan dengan nyanyian Lagu Kebesaran Negeri Perak, bacaan ayat suci al-Quran dan doa sebelum Sultan Nazrin menyempurnakan lafaz perasmian dan menandatangani plak.

Baginda turut menyaksikan persembahan khas Pasukan Gerakan Khas (PGK) VAT 69 sebelum berangkat ke majlis santapan.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pembinaan jambatan itu memberi manfaat besar kepada penduduk.

“Ia bukan sahaja memendekkan masa perjalanan, malah membuka peluang ekonomi baharu di kawasan sekitar,” katanya.

Jambatan sepanjang 300 meter itu menghubungkan Jalan Manong dan Jalan Seberang Manong, memendekkan masa perjalanan dari 40 minit kepada hanya 13 minit.

Projek bernilai RM37.9 juta ini turut merangkumi pembinaan jalan raya sepanjang 3 km, naik taraf persimpangan, pemasangan perabot jalan dan lampu jalan.

Mesra dikenali sebagai ‘Jambatan Manong’, ia mula dibina pada 2017 dan siap pada Oktober 2019, menjadi infrastruktur penting bagi memperkukuh jaringan pengangkutan dan kesejahteraan penduduk setempat.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat