Sultan Perak zahir ucapan tahniah kepada KPKT atas kejayaan 2024

PETALING JAYA: Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizuddin Shah menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Menteri dan seluruh warga Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) atas prestasi cemerlang sepanjang tahun 2024.

Menerusi kenyataan KPKT di Facebook, ucapan penghargaan itu dizahirkan Baginda ketika menerima mengadap Menteri KPKT, Nga Kor Ming di Istana Perak Changkat, petang semalam.

“Tahniah atas kejayaan memenangi Anugerah Pembangunan Negara 2024 buat kali pertama,” maktub baginda.

Dalam perjumpaan tersebut, Kor Ming membentangkan Kad Laporan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tahun 2024 yang menggariskan siri kejayaan kementerian serta agensi-agensi di bawahnya.

Pada masa yang sama, Kor Ming mempersembahkan cenderamata yang disediakan oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) yang melambangkan metamorfosis dan bermakna reformasi ke arah menjadi insan yang lebih baik.

Pada 2024, KPKT melaksanakan pelbagai projek untuk meningkatkan tahap kesejahteraan rakyat termasuk membaik pulih 4,814 unit rumah serta membina 245 unit rumah baru bagi golongan berpendapatan rendah dengan peruntukan berjumlah RM 104.4 juta.

Selain itu, kementerian juga meluluskan pembinaan 7,243 unit MyKiosk di 133 pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara dalam tempoh dua tahun bagi meningkatkan taraf ekonomi dan pendapatan ribuan usahawan mikro, kecil, dan sederhana.

Setakat Disember 2024, KPKT berjaya memulihkan 927 projek atau 112,747 unit perumahan swasta dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM92.48 bilion dalam tempoh dua tahun melalui Task Force Projek Perumahan Swasta Sakit dan Terbengkalai.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat