PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah bahawa tarikh rasmi sambutan Hari Raya Aidilfitri hanya akan diumumkan oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada 19 Mac 2026, selepas mendapat perkenan Raja-Raja Melayu.
Baginda menzahirkan kebimbangan terhadap pelbagai spekulasi yang tersebar di media sosial, yang disifatkan sebagai andaian membuta tuli serta berpotensi menimbulkan kekeliruan dalam kalangan umat Islam.
“Baginda menyeru semua pihak agar bersabar dan jangan mudah percaya dengan spekulasi tanpa asas.
“Baca dan hadamkan kenyataan yang dibuat oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor dan Khutbah Jumaat berhubung perkara ini,” menurut kenyataan rasmi Istana pada Jumaat.
Sultan Sharafuddin bertitah, Malaysia mempunyai kaedah tersendiri dalam menentukan awal bulan Ramadan dan Syawal melalui rukyah dan hisab.
Kaedah itu dijalankan secara teratur, teliti dan berpandukan keputusan pihak berkuasa agama yang berwibawa.
“Kaedah ini telah sekian lama diyakini serta dipersetujui oleh Majlis Raja-Raja dan tidak perlu dibandingkan atau dipengaruhi oleh penetapan yang dibuat oleh negara-negara lain,” jelas kenyataan itu.
Jabatan Mufti Negeri Selangor sebelum ini menjelaskan bahawa permulaan bulan Islam bergantung kepada kenampakan hilal dan data kedudukan bulan pada tarikh cerapan di setiap negara, memandangkan setiap negara mempunyai matla’ ru’yah yang berbeza.
Dalam masa sama, Baginda menyeru umat Islam agar memberi tumpuan kepada ibadah khususnya pada sepuluh malam terakhir Ramadan yang penuh keberkatan.
“Umat Islam diseru supaya tidak terlalu memberi tumpuan kepada perbincangan mengenai tarikh Hari Raya sehingga melalaikan daripada manfaat sepuluh malam terakhir Ramadan,” menurut kenyataan itu.








