PETALING JAYA: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah perkenan melantik Datuk Salehuddin Saidin sebagai Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) yang baharu berkuat kuasa 1 Mac 2025.
Terdahulu, dilaporkan, Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof akan menamatkan khidmatnya sebagai Pengerusi MAIS lebih awal pada 28 Februari ini atas faktor kesihatan.
Menurut Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, pengisian jawatan Pengerusi MAIS itu hendaklah dilaksanakan dengan segera kerana baginda amat mengambil berat pentadbiran dan pengurusan serta pembangunan institusi agama Islam.
“Sultan Selangor mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof yang telah dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab sebagai Pengerusi MAIS dengan baik dan cemerlang sepanjang tempoh perkhidmatannya semenjak dari tahun 2021.
“Baginda mendoakan semoga beliau (Abdul Aziz) sentiasa di bawah perlindungan Allah serta dikurniakan kesembuhan dan kesihatan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan.
Sebelum ini, Setiausaha Agung MAIS, Dr Ahmad Shahir Makhtar berkata, Sultan Selangor telah memperkenan permohonan Abdul Aziz untuk memendekkan tempoh pelantikannya sebagai Pengerusi MAIS bagi sesi tahun 2024-2026, berkuat kuasa pada 28 Februari 2025 atas faktor kesihatan.
Katanya, sepanjang tempoh pelantikan, Abdul Aziz telah menerajui MAIS dengan penuh komitmen dan dedikasi dalam memperkasakan hal ehwal Islam di Selangor.
Tambahnya, itu termasuk merealisasikan Pelan Strategik MAIS 2020-2024 yang merangkumi semua Jabatan Hal Ehwal Islam Negeri Selangor, agensi dan anak syarikat MAIS.

“MAIS merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Tan Sri Datuk Seri Abdul Aziz Mohd Yusof di atas segala sumbangan, jasa dan khidmat bakti beliau dalam menjalankan tugas yang diamanahkan sepanjang pelantikan beliau sebagai Pengerusi MAIS bermula 1 Januari 2021 sehingga 28 Februari 2025,” tambahnya lagi.
Untuk rekod, Abdul Aziz telah dilantik sebagai Pengerusi MAIS pada 1 Januari 2021 dan telah berkhidmat hampir lima tahun.