SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan penghargaan kepada Khazanah Nasional Berhad atas usaha membangunkan serta memulihara Bangunan Sultan Abdul Samad di Kuala Lumpur.
Baginda bertitah, inisiatif berkenaan bukan sahaja memelihara warisan sejarah negara, malah mengangkat semula martabat mercu tanda penting yang mempunyai nilai signifikan dalam lipatan sejarah tanah air.
Menurut baginda, meskipun terdapat perbincangan dan perdebatan mengenai kos pemulihan, usaha berkenaan perlu dilihat dari sudut kepentingan jangka panjang dalam memelihara khazanah sejarah negeri.
“Sekiranya usaha seperti ini tidak dilaksanakan, warisan sejarah negeri Selangor yang tidak ternilai berisiko hilang dan lenyap begitu sahaja,” titah baginda dalam kenyataan yang dikeluarkan Istana Alam Shah, pada Khamis.

Baginda turut melahirkan kebimbangan bahawa tanpa pemuliharaan berterusan, generasi akan datang mungkin tidak lagi dapat melihat bukti kewujudan warisan negeri Selangor di Kuala Lumpur.
Sultan Sharafuddin Idris Shah berkata, baginda sebelum ini pernah menyuarakan kebimbangan terhadap keadaan beberapa bangunan bersejarah di ibu negara yang dilihat semakin terabai sekitar tahun 2018 atau 2019.
Bangunan Sultan Abdul Samad, menurut baginda, mempunyai nilai sentimental yang tinggi kerana baginda pernah berkhidmat di situ pada tahun 1968 di bawah pentadbiran Allahyarham Datuk Seri Harun Idris, selain pernah merasmikan pembukaan Dewan Undangan Negeri ketika menjadi Pemangku Raja Selangor.
Baginda berharap usaha pemuliharaan seperti ini akan terus diperkasa dan diperluaskan kepada semua tapak warisan lain di Kuala Lumpur yang mempunyai kaitan dengan negeri Selangor.
Baca juga:








