SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menyeru rakyat agar terus memperkukuh perpaduan dan mengelakkan sebarang perbalahan dalam kalangan masyarakat, bersempena sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Dalam perutusan sempena Aidilfitri pada Khamis, Baginda bertitah bahawa perayaan ini perlu dijadikan medan untuk mengeratkan ukhuwah serta memperkukuh hubungan silaturahim antara rakyat berbilang latar belakang.
“Beta mahu umat Islam terus memperkukuhkan kesatuan dan perpaduan serta mengelakkan sebarang pertelingkahan sesama sendiri,” titah Baginda.
Sultan Sharafuddin turut mengingatkan rakyat supaya mengambil iktibar daripada konflik yang berlaku di peringkat global yang memberi kesan kepada umat Islam di seluruh dunia.
“Jadikan apa yang berlaku di luar sana sebagai pedoman dan pengajaran dalam kita mengekalkan keharmonian di negara ini,” titah Baginda.
Dalam masa sama, Baginda menasihatkan rakyat agar sentiasa bersedia menghadapi ketidaktentuan ekonomi dengan berbelanja secara berhemah.
“Setiap rakyat perlu bersedia dengan apa jua kemungkinan dan berhati-hati dalam berbelanja, bak kata pepatah, sediakan payung sebelum hujan,” titah Baginda lagi.
Sultan Selangor turut berharap semua lapisan masyarakat termasuk pemimpin dan rakyat agar memberi tumpuan kepada usaha membangunkan negeri serta memakmurkan negara.
“Beta berharap seluruh rakyat terus berganding bahu membangunkan negeri dan memakmurkan negara demi kesejahteraan bersama,” titah Baginda.








