SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan rasa kecewa terhadap segelintir Ahli Parlimen yang gagal menunjukkan teladan baik, sebaliknya terjerumus dalam pertengkaran dan tingkah laku tidak tertib di Dewan Rakyat.
Baginda menegaskan bahawa wakil rakyat seharusnya mewakili rakyat dengan penuh hormat, maruah dan integriti, bukannya mencemarkan institusi Parlimen dengan kelakuan biadab.
“Keadaan ini memalukan. Walaupun pelbagai peringatan telah diberikan sebelum ini, masih ada yang terus berkelakuan biadab,” titah baginda dalam temu bual bersama Bernama.
Sultan Sharafuddin turut bertitah, Ahli Parlimen sepatutnya menjadi teladan kepada generasi muda, namun segelintir mereka berkelakuan sebaliknya.
“…mereka berkelakuan seperti pembuli,” titah baginda lagi.
Sepanjang tahun ini, beberapa insiden kekecohan berlaku di Dewan Rakyat akibat kemarahan yang memuncak termasuk bulan lalu apabila dua Ahli Parlimen diarahkan keluar selepas pertengkaran mulut.
Tuanku menegaskan bahawa Dewan Rakyat mesti menjadi contoh wacana demokrasi yang matang, dengan perbahasan berilmiah dan idea yang membina.
“Ahli Parlimen seharusnya berbahas dan berhujah secara berilmiah dan mengemukakan idea yang membina.
“Tidak perlu bersikap kasar atau menghamburkan kata-kata kesat antara satu sama lain,” titah baginda.








