Sultan Selangor tidak perkenan penternakan babi di seluruh negeri

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan bahawa Baginda tidak berkenan aktiviti penternakan babi dijalankan di mana-mana daerah di Negeri Selangor kerana ia berpotensi menimbulkan pencemaran alam sekitar serta keresahan dalam kalangan masyarakat.

Titah tersebut dizahirkan susulan perbincangan antara Baginda dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 8 Februari berhubung cadangan projek penternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.

Sebelum itu, pada 23 Januari Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan menyarankan Kerajaan Negeri Selangor membatalkan projek berkenaan, dan pendirian tersebut ditegaskan sekali lagi dalam ucapan beliau pada 9 Februari.

Perdana Menteri menyatakan ketidaksetujuan terhadap penternakan babi di kawasan yang dibantah penduduk tempatan serta berpotensi mencetuskan kontroversi, selain menyarankan agar projek tersebut tidak diteruskan sekiranya tiada kawasan yang benar-benar sesuai.

Susulan itu, Sultan Selangor menyambut baik kenyataan Perdana Menteri itu dan menegaskan bahawa penternakan babi boleh menyebabkan pencemaran udara akibat bau busuk serta mencemarkan sumber air sungai melalui pelepasan najis dan sisa kumbahan.

Baginda bertitah, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar yang merupakan kawasan penempatan orang Melayu dan tanah rancangan FELDA dijangka menerima bantahan penduduk setempat.

Selain itu, kawasan tersebut juga berhampiran dengan kawasan tadahan air dan sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya, sekali gus meningkatkan risiko pencemaran air.

Baginda turut menegaskan bahawa walaupun pencemaran udara dan air boleh dikurangkan melalui kaedah penternakan moden, kos pelaksanaannya adalah tinggi dan tiada jaminan sepenuhnya bahawa ia tidak akan menjejaskan kawasan tadahan air serta sungai utama di Lembah Klang.

Menurut Baginda, penternakan babi sama ada berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor berikutan kekangan tanah serta nilai hartanah yang tinggi, yang sepatutnya dimanfaatkan bagi tujuan pembangunan dan kegunaan masyarakat yang lebih berimpak ekonomi.

Sehubungan itu, Baginda menyarankan agar kerajaan mempertimbangkan pemberian lesen pengimportan daging babi bagi memenuhi keperluan masyarakat bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor.

Kaedah ini, titah Baginda, bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang berlarutan, malah membolehkan penggunaan tanah negeri dioptimumkan untuk tujuan pembangunan dan penempatan.

Sultan Selangor menegaskan agar isu penternakan babi dimuktamadkan dan dihentikan sepenuhnya kerana ia menimbulkan keresahan serta boleh menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat. Baginda turut menyeru semua pihak agar menghormati titah Baginda dan bersama-sama memelihara perpaduan di negeri ini.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat