SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan supaya tiada lagi operasi penternakan babi dijalankan di kawasan Tanjong Sepat, Kuala Langat, sebaliknya dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Ketetapan itu dibuat susulan sesi menghadap bersama EXCO Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Datuk Ir Izham Hashim serta EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Selangor, Datuk Ng Suee Lim di Istana Bukit Kayangan, di sini.
Menurut kenyataan media Istana Selangor hari ini, Sultan Sharafuddin telah meneliti secara mendalam pengurusan serta hala tuju operasi penternakan babi di negeri ini dengan mengambil kira kepentingan rakyat, kesejahteraan alam sekitar dan keharmonian sosial.
Baginda bertitah, operasi penternakan babi sedia ada di Tanjong Sepat hendaklah dihentikan secara berperingkat sebelum dipindahkan sepenuhnya ke Bukit Tagar, mengikut perancangan tersusun serta mematuhi semua keperluan perundangan dan peraturan berkaitan.
Selain itu, Baginda turut menitahkan supaya satu kajian terperinci dan bancian menyeluruh berasaskan data sah dilaksanakan bagi mengenal pasti keperluan sebenar daging babi khusus untuk kegunaan rakyat bukan Islam di Selangor sahaja.
Baginda menegaskan bahawa tiada sebarang perancangan atau tujuan untuk mengeksport hasil penternakan berkenaan, dan dapatan kajian itu perlu dijadikan asas utama dalam menentukan skala, kapasiti serta keluasan operasi penternakan babi di Bukit Tagar supaya ia kekal munasabah dan terkawal.
Dalam masa sama, Sultan Sharafuddin turut menegaskan bahawa Kerajaan Negeri Selangor tidak akan menyediakan sebarang peruntukan kewangan atau membuat pelaburan bagi mana-mana operasi penternakan babi pada masa hadapan, termasuk di Bukit Tagar.
Segala urusan berkaitan hendaklah dilaksanakan tanpa melibatkan dana awam negeri.
Baginda berharap semua pihak berkaitan dapat melaksanakan ketetapan tersebut dengan penuh tanggungjawab, berhemah serta mematuhi undang-undang demi memastikan kesejahteraan rakyat, kelestarian alam sekitar dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di Selangor terus terpelihara.
Baca juga:








