SHAH ALAM: Sempena sambutan Hari Krismas tahun ini, DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj bersama Tengku Permaisuri Hajah Norashikin menzahirkan ucapan penuh makna kepada seluruh penganut Kristian khususnya di negeri Selangor.
Dalam perutusan baginda, Sultan Sharafuddin menekankan kepentingan kasih sayang, keharmonian dan semangat saling menghormati sebagai asas perpaduan masyarakat majmuk di Malaysia.
“Beta dan Tengku Permaisuri Hajah Norashikin mengucapkan Selamat Menyambut Hari Krismas (Hari Natal) kepada seluruh penganut agama Kristian khususnya di Selangor yang meraikannya.
“Semoga perayaan ini diraikan dengan penuh kegembiraan dan kemakmuran, bersatu-padu serta diiringi kesyukuran bersama keluarga serta masyarakat sekeliling.
“Beta berharap semangat kasih sayang dan saling menghormati yang dizahirkan melalui sambutan Krismas ini akan terus memperkukuh perpaduan serta keharmonian dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“‘Merry Christmas’ dan Selamat Menyambut Hari Natal,” titah Baginda.








