KLANG: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, menzahirkan ucapan tahniah dan penghargaan kepada Lembaga Tabung Haji (TH) atas kejayaan menerima Labaytum Diamond Award bagi musim haji 1447H/2026M daripada Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi.
Baginda menyifatkan pengiktirafan berprestij itu sebagai bukti jelas kecekapan, profesionalisme serta komitmen tinggi warga TH dalam mengurus dan menyelaras operasi haji Malaysia di Makkah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.
“Kejayaan ini bukan sahaja membanggakan institusi Tabung Haji, malah turut mengharumkan nama Malaysia serta memperkukuhkan reputasi negara sebagai peneraju dalam pengurusan ibadah haji yang sistematik, cekap dan berteraskan prinsip syariah,” titah Baginda dalam satu kenyataan pada Selasa.
Sultan Sharafuddin bertitah, pengalaman peribadi Baginda yang pernah menunaikan ibadah haji sebanyak dua kali dan beberapa kali mengerjakan umrah melalui bimbingan TH membolehkan Baginda melihat sendiri mutu perkhidmatan yang diberikan institusi berkenaan.
“Mutu perkhidmatan, kebajikan dan pengurusan yang disediakan oleh Tabung Haji adalah amat baik, tersusun serta sentiasa mengutamakan keselesaan dan keselamatan para jemaah,” titah Baginda.

Dalam pada itu, Baginda turut mengimbas sumbangan besar Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid yang mencetuskan idea penubuhan Tabung Haji pada 1959 bagi membantu umat Islam menyimpan wang secara patuh syariah untuk menunaikan ibadah haji.
Menurut Baginda, visi tokoh ilmuwan negara itu terbukti berjaya membantu jutaan umat Islam menunaikan Rukun Islam kelima secara lebih terancang dan sistematik.
Sultan Selangor turut merakamkan penghargaan kepada jemaah haji Malaysia yang sentiasa mempamerkan disiplin, adab dan akhlak terpuji sepanjang berada di Tanah Suci.
“Sikap tertib, kerjasama yang baik serta kepatuhan kepada peraturan yang ditunjukkan oleh jemaah Malaysia sering menjadi contoh dan mendapat pujian daripada pihak berkuasa Arab Saudi serta jemaah antarabangsa dari pelbagai negara,” titah Baginda.
Baginda percaya kecemerlangan yang dicapai pada musim haji tahun ini adalah hasil kerjasama erat antara pengurusan TH, petugas haji dan para jemaah yang sentiasa mengutamakan semangat kebersamaan serta menjaga nama baik negara.
Pada masa sama, Baginda menzahirkan keyakinan bahawa TH akan terus mengekalkan kecemerlangan dan menambah baik mutu perkhidmatan dari semasa ke semasa demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada Dhuyufurrahman serta memelihara kesejahteraan umat Islam.
Baca juga:








