‘Sumandak Sabah’ Juara Debat Piala Menteri Pendidikan 2025

PETALING JAYA: Sekumpulan pelajar yang digelar ‘Sumandak Sabah’ mencuri tumpuan selepas muncul juara Debat Piala Menteri Pendidikan 2025.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata pasukan itu bukan sahaja menjuarai pertandingan, malah turut membawa pulang anugerah Orator Terbaik serta Pendebat Terbaik Generasi Madani.

“Sebaik sahaja pasukan ini membuka gelanggang perdebatan, sebahagian kami di bawah pentas, sudah merasakan pasukan ini akan menang.” kata Fadhlina dalam satu kenyataan.

Salah seorang ahli pasukan ketika ditemu bual media mendedahkan cabaran terbesar adalah ketika Sabah dilanda banjir sehingga terputus bekalan elektrik dan internet, sekali gus menjejaskan sesi latihan.

“Walaupun terhalang oleh bencana, kami tetap teruskan latihan seadanya. Semangat juang inilah yang membawa kami ke pentas kemenangan,” katanya.

Kehebatan mereka mendapat pujian ramai, termasuk penonton di lokasi pertandingan yang sudah merasakan kemenangan bakal berpihak kepada pasukan itu sebaik sahaja mereka memulakan hujah.

Fadhlina berkata, penganjuran kali ini dianggap antara yang terbaik kerana memperlihatkan bakat luar biasa pelajar dari seluruh negara.

Debat Piala Menteri Pendidikan adalah pertandingan tahunan anjuran KPM yang melahirkan ramai pendebat muda berbakat. Tahun ini, kehebatan ‘Sumandak Sabah’ menambah sejarah baharu buat arena debat tanah air.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat