KUANTAN: Kisah kehidupan sebuah keluarga daif di Kampung Chendor menyentuh hati apabila diziarahi oleh Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Ahmad Farhan Fauzi bersama Timbalan Pengarah ICU Pahang, YM Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah serta wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Kediaman itu dihuni oleh Rosli Mamat, pesakit jantung yang tinggal bersama isteri dan dua anak kecil.
Walaupun diuji dengan kesihatan yang merosot dan serba kekurangan, beliau tetap tabah menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.
“Sewaktu melangkah masuk, hati terasa sayu melihat keadaan ruang pelindungan mereka sekeluarga.
“Namun, di sebalik keuzuran kesihatan dan serba kekurangan, raut wajah Rosli kekal tenang dan tabah, terus gigih menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga,” kata Ahmad Farhan.
Beliau berkata, pihaknya bersama ICU Pahang dan JKM sedang mengusahakan ikhtiar terbaik bagi memastikan keluarga itu mendapat keselesaan yang sewajarnya.
“Melihat keadaan itu, saya bersama YM Tengku Datuk Nor Asmaliza Ku Lah, Timbalan Pengarah ICU Pahang dan pihak JKM, kami sedang mengusahakan ikhtiar terbaik bagi memastikan keluarga ini mendapat keselesaan yang sewajarnya,” katanya.
Sebagai tanda keprihatinan, beliau turut menyampaikan sumbangan ikhlas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi meringankan beban keluarga ini dalam menjalani ibadah Ramadan.
“Bagi meringankan beban mereka dalam menjalani ibadah di bulan Ramadan kali ini, saya sampaikan sedikit sumbangan ikhlas daripada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.
Ziarah tersebut bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi juga menjadi peringatan tentang tanggungjawab besar untuk terus membantu rakyat yang berdepan kesukaran.
“Ziarah ini bukan sekadar menyampaikan bantuan tetapi mengingatkan saya bahawa di sebalik setiap kesukaran rakyat, ada tanggungjawab besar untuk kita terus membantu,” tambahnya.
Beliau mendoakan agar urusan keluarga Rosli dipermudahkan, dikurniakan kesembuhan serta diberi kekuatan menempuh ujian kehidupan.








