Sumbat suami tidak tanggungjawab ke penjara – Peguam syarie


Oleh: Haikal Tajuddin

TULAR isu wanita yang diceraikan tidak mendapat hak sewajarnya daripada Mahkamah Syariah membuatkan seorang peguam syarie terpanggil memberi penjelasan bagi menjernihkan hal tersebut.

Muhammad Syarafi berkata seorang isteri wajar menerima nafkah daripada bekas suami sekiranya tidak disabitkan nusyuz oleh mana-mana Mahkamah Syariah.

Jelasnya, isu berkaitan kes nafkah itu juga bukan berpunca daripada pihak Mahkamah, malah salah individu (suami) tidak hadir untuk memfailkan kes perceraian dengan lafaz, maka ia akan menyebabkan perkara tersebut tidak selesai.

“Tugas mahkamah hanyalah mengeluarkan perintah mengikut permohonan sahaja dan isu tidak membayar nafkah itu sememangnya bukan salah mahkamah tetapi individu sendiri.

“Jika si suami tidak membayar nafkah tersebut, bekas isteri wajar meminta Mahkamah untuk mengeluarkan arahan waris si suami untuk bayar nafkah itu.

“Nak kejar bapa-bapa yang tidak membayar nafkah ini kena ada perintah Mahkamah dan kalau dia tidak ikut walaupun diperintah, maka sumbatlah sahaja dia ke penjara,” jelasnya menerusi platform X pada Rabu.

Beliau menjawab pertanyaan warga maya yang menyelar sistem pentadbiran mahkamah syariah yang didakwa berat sebelah kepada golongan lelaki.

Katanya, kesedaran sivik dari bekas suami itu penting untuk menafkahkan bekas isteri sepanjang tempoh iddah.

Dalam kenyataan sama, beliau juga turut mengulas bahawa perundangan di Malaysia diwujudkan untuk menjaga hak setiap pihak, namun mereka yang bermasalah sahaja tidak akan menghormati dan percaya terhadap perkara tersebut.

“Mahkamah sentiasa komited dalam membuat penghakiman yang bersesuaian dengan tahap kemampuan dan permintaan pihak isteri dalam isu nafkah ini.

“Mintalah apa sahaja dari Mahkamah, asalkan bersesuaian dengan permintaan itu.

“Nak mintak penjarakan bekas suami tidak akan menyelesaikan masalah sebab tanggungjawab untuk memberi nafkah kepada anak dan bekas isteri sepanjang tempoh iddah akan terhenti apabila suami dipenjarakan,” jelasnya.

Namun begitu, beliau turut menegaskan, berkahwin lain mahupun bankrup bukanlah satu alasan yang memberi ruang kepada suami untuk tidak membayar nafkah kepada bekas isteri dan anaknya.

Terdahulu, tular seorang wanita yang mendakwa Mahkamah Syariah tidak menegakkan keadilan wanita lalu meluahkan perasaan kecewa apabila isu nafkah tidak dapat diselesaikan. Susulan itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Na’im Mokhtar memberi perhatian lalu mengarahkan pegawainya menyelesaikan kes tersebut.

Anda Mungkin Berminat