Oleh: Tyah Helmi
PETALING JAYA: Seluruh aset pembetungan awam negara dijamin sentiasa beroperasi dengan cekap demi kesejahteraan alam sekitar dan rakyat.
Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Fadillah Yusof berkata Indah Water Konsortium (IWK) Sdn Bhd telah menyelenggara 7,767 Loji Rawatan Kumbahan awam dan 1,564 Stesen Pam Kumbahan di bawah kelolaannya serta 23,550 kilometer panjang paip pembetungan bawah tanah, yang memberi perkhidmatan kepada 32 juta penduduk di Semenanjung.
“Malaysia tidak berada dalam kategori negara yang berisiko mengalami “bankrap air” seperti yang dibimbangkan di peringkat global kerana negara masih mempunyai sumber air mentah yang mencukupi.
“Namun begitu, cabaran sebenar yang perlu ditangani adalah dari sudut pengurusan sumber air secara bersepadu, perlindungan kawasan lembangan sungai serta kecekapan sistem penyampaian air negara,” katanya dalam satu kenyataan media pada Selasa.

Jelas Fadillah, langkah proaktif itu adalah bukti komitmen Kerajaan Madani dalam memastikan kualiti perkhidmatan pembetungan terus terjaga, khususnya bagi mengelakkan gangguan kepada keselesaan rakyat, terutamanya pada waktu perayaan.
Katanya, inisiatif itu sejajar dengan usaha PETRA untuk mengekalkan kesejahteraan masyarakat dan alam sekitar.
Bagi orang ramai yang ingin membuat aduan, mereka boleh menghubungi IWK melalui e-mel di [email protected] atau talian khidmat pelanggan 03-2083 2828, yang beroperasi dari jam 8 pagi hingga 11 malam untuk panggilan telefon serta 24 jam melalui WhatsApp.
Selain itu, IWK terus meneruskan komitmennya kepada golongan memerlukan dengan melaksanakan program rebat khas untuk pelanggan yang tersenarai dalam eKasih.
Sehingga Disember 2025, IWK telah memperuntukkan lebih RM1.1 juta bagi menampung rebat bil pembetungan kepada pelanggan yang berdaftar, sebagai bukti keprihatinan terhadap golongan berpendapatan rendah.
Seiring dengan konsep Malaysia Madani, IWK turut memperkukuh program tanggungjawab sosial korporatnya yang memberi manfaat langsung kepada komuniti.
Selain itu, program seperti Sahabat Sekolah IWK yang memberi kesedaran kepada pelajar sekolah mengenai kepentingan sistem pembetungan negara dan Sahabat Istimewa IWK yang menyokong pemerkasaan komuniti kelainan upaya (OKU) adalah sebahagian daripada inisiatif ini.
Tegas PETRA, bahawa perkhidmatan utiliti yang baik harus disertakan dengan komitmen sosial berterusan bagi memperkukuh pembangunan masyarakat setempat demi kesejahteraan rakyat.
Baca juga:








