KUALA LUMPUR: Penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan seperti The Global Sumud Flotilla dilihat sebagai harus dari sudut syarak, namun boleh bertukar menjadi mudarat sekiranya tidak ditimbang dengan disiplin hukum dan realiti semasa.
Perkembangan konflik di Gaza yang berterusan mendorong pelbagai inisiatif antarabangsa untuk memecahkan sekatan, termasuk melalui misi flotila.
Penglibatan aktivis wanita dalam usaha ini memperlihatkan solidariti dan empati tinggi terhadap penderitaan rakyat Palestin, sekali gus mencerminkan kesedaran kemanusiaan yang merentas sempadan.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil berkata, hukum asal penyertaan wanita dalam misi seumpama itu adalah harus, namun ia tidak bersifat mutlak.
“Setiap keharusan dalam syariat terikat dengan syarat yang jelas, khususnya aspek keselamatan.
“Apabila jaminan keselamatan tidak lagi wujud, maka hukum itu boleh berubah,” katanya menerusi Tinta Mufti di Facebook pada Ahad.

Menurutnya, dalam konteks misi flotila yang berdepan sekatan ketenteraan, risiko bukan lagi bersifat kemungkinan tetapi realiti yang telah terbukti sebelum ini.
“Pelayaran ke kawasan konflik aktif yang melibatkan kekuatan tentera membuka ruang kepada ancaman serius terhadap nyawa dan maruah.
“Ia sekali gus menggugurkan syarat asas keharusan,” katanya lagi.
Beliau turut menjelaskan bahawa pendekatan syariah menuntut setiap tindakan dinilai berdasarkan keutamaan dan implikasi.
“Menolak kemudaratan perlu didahulukan daripada mengambil maslahat.
“Jika risiko lebih besar daripada manfaat, maka tindakan itu perlu dinilai semula,” ujarnya.
Dalam masa sama, beliau menegaskan bahawa peranan wanita dalam perjuangan kemanusiaan tidak dinafikan, namun perlu disusun secara lebih strategik dan selamat.
“Wanita boleh memainkan peranan besar di zon selamat seperti dalam bidang perubatan, logistik, advokasi dan diplomasi, yang juga kritikal dalam menjayakan misi,” katanya.
Baca juga:








