Sumud Flotila Hampiri Zon Kuning, Sukarelawan Malaysia Mohon Doa Selamat

MISI kemanusiaan Flotila Sumud Global (GSF) ke Semenanjung Gaza kini dilaporkan semakin hampir ke kawasan berisiko tinggi, apabila kapal dijangka memasuki zon kuning dalam tempoh kira-kira 20 jam lagi.

Perkembangan itu dikongsikan salah seorang sukarelawan Malaysia, Rahmat Ikhsan atau lebih dikenali sebagai PU Rahmat, menerusi hantaran di Facebook, Ahad malam.

“Kurang lebih 20 jam sebelum sampai ke zon kuning. Terus sumud!!” tulisnya ringkas.

Dalam hantaran berasingan, PU Rahmat turut mengajak umat Islam khususnya mereka yang berpuasa Isnin agar berdoa supaya kapal serta semua peserta misi berkenaan selamat tiba di Gaza.

“Kepada semua yang berpuasa Isnin, masa nak berbuka nanti, panjatkan doa agar kapal berlabuh di Gaza, semua delegasi selamat daripada kecederaan dan pulang ke negara masing-masing,” katanya.

Menurut penganjur, flotila itu membawa bekalan makanan, ubat-ubatan serta mesej keamanan, dan dijangka tiba di Gaza esok, lapor Anadolu Ajansi.

Peserta misi terdiri daripada sukarelawan antarabangsa dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat.

Sukarelawan Malaysia pula bernaung di bawah panji Sumud Nusantara yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman.

Untuk rekod, seramai 34 rakyat Malaysia berada di atas beberapa kapal dalam flotila berkenaan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat