Sumud Nusantara Gesa Kebangkitan Dunia Tangani Krisis Gaza, Iran

KUALA LUMPUR: Gerakan Sumud Nusantara bersama Global Sumud Flotilla menyeru masyarakat antarabangsa supaya bangkit bersuara berhubung perkembangan konflik membabitkan Iran, Israel dan Amerika Syarikat yang disifatkan semakin meruncing.

Dalam kenyataan hari ini, gerakan itu berkata, situasi yang berlaku bukan sekadar pertikaian dua hala, sebaliknya mencerminkan pola ketegangan geopolitik yang lebih luas dan berpanjangan.

“Gaza dan Iran bukan isu yang berasingan. Kedua-duanya berkait dalam satu corak yang sama iaitu penggunaan kekuatan dan tekanan untuk mengawal serta melemahkan mana-mana pihak yang menentang agenda kuasa besar,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

Menurut Sumud Nusantara, peningkatan konflik tanpa mekanisme akauntabiliti yang jelas hanya membuka ruang kepada tindakan lebih agresif, sekali gus berisiko mencetuskan ketidakstabilan serantau.

“Inilah yang berlaku apabila pelanggaran demi pelanggaran dibiarkan tanpa sebarang akibat.

“Apabila tiada batasan, konflik akan terus melebar,” katanya lagi.

Gerakan itu turut menekankan bahawa solidariti antarabangsa amat penting dalam memastikan keamanan global terus dipertahankan terutama apabila institusi dunia dilihat gagal bertindak secara tegas.

“Kami menyeru rakyat di seluruh dunia bangkit dan bertindak.

“Tuntut pengurangan konflik dan pastikan pertanggungjawaban ditegakkan,” menurut kenyataan itu lagi.

Anda Mungkin Berminat