Suntik dana kepada Sapura Energy demi selamatkan ekosistem perniagaan Bumiputera

Oleh: Tyah Helmi

PETALING JAYA: Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menyokong langkah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menyuntik dana sebanyak RM1.1 bilion ke dalam Sapura Energy Bhd (SEB) sebagai usaha untuk menyelamatkan ekosistem perniagaan Bumiputera dalam sektor industri minyak dan gas negara.

Setiausaha Agung DPMM, Abd Halim Husin berkata, industri minyak dan gas negara banyak dinaungi serta dipelopori oleh syarikat kecil Bumiputera yang bergantung kepada kontrak daripada syarikat gergasi seperti Sapura Energy.

“Jika syarikat (Sapura Energy) ini gagal, kesannya akan dirasai secara langsung oleh ribuan vendor kecil dan sederhana yang majoritinya adalah usahawan Bumiputera,” katanya.

Bercakap kepada Malaysia Bangkit hari ini, DPMM menzahirkan sokongan terhadap sebarang usaha kerajaan yang dilihat dapat melindungi vendor dan pekerja Bumiputera.

Menurut Abd Halim, usaha mengimbangi Sapura Energy boleh menjadi strategi jangka panjang untuk mengukuhkan lagi ekosistem industri minyak dan gas negara, yang merupakan antara sektor ekonomi penting di Malaysia.

“Sapura Energy adalah syarikat yang mempunyai kepakaran dan pengaruh besar dalam industri ini dan kejatuhannya boleh memberi kesan buruk kepada keseluruhan rantaian bekalan,” ujarnya.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa sebarang suntikan dana mesti disertai dengan reformasi korporat yang ketat.

Oleh itu, DPMM menyarankan kerajaan untuk meletakkan syarat ketat agar Sapura Energy melunaskan hutang mereka kepada syarikat kecil tempatan serta membayar gaji pekerja mereka terlebih dahulu sebelum dana digunakan ke arah lain.

“Sapura Energy perlu membuktikan bahawa mereka mampu keluar daripada masalah kewangan ini melalui pengurusan yang lebih cekap, tadbir urus yang lebih baik serta strategi yang lebih jelas untuk menjadikan syarikat lebih berdaya saing,” tegasnya.

DPMM juga menyarankan kerajaan memastikan langkah ini benar-benar memberi manfaat kepada vendor dan pekerja tempatan serta memperkukuhkan industri minyak dan gas negara, bukan sekadar menyelamatkan sebuah syarikat tanpa perubahan signifikan dalam pengurusannya.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, suntikan pelaburan sebanyak RM1.1 bilion kepada Sapura Energy Berhad (SEB) bukanlah dana hangus, sebaliknya pinjaman yang perlu dibayar semula oleh syarikat itu apabila kembali mencatat keuntungan.

Anda Mungkin Berminat