Suntingan video PM berniat buruk demi modal politik – MPN Wilayah Persekutuan

PETALING JAYA: Cubaan segelintir pemimpin pembangkang menimbulkan persepsi seolah-olah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengiktiraf negara haram Israel adalah bersifat dangkal dan murahan.

Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Wilayah Persekutuan, Datuk Azman Abidin berkata suntingan video yang disebarkan itu berniat buruk demi meraih modal politik melalui gambaran fitnah dan sangkaan jahat.

“… ini kerana Malaysia tidak pernah dan tidak akan sesekali mempunyai sebarang hubungan diplomatik bersama Rejim Zionis yang melakukan kekejaman yang sangat dahsyat kepada rakyat Palestin

“Sekian lama, sosok tubuh bernama Anwar Ibrahim telah memperjuangkan solidariti terhadap saudara Islam di Palestin semenjak beliau berusia muda hingga kini sebagai pemimpin negara beliau terus konsisten membawa perjuangan ini di peringkat antarabangsa.

“Keakraban beliau bersama pemimpin Palestin sejak zaman Yasser Arafat, Mahmud Abbas sehinggalah Ismail Haniyeh sudah diketahui dunia berdekad lama malahan beliau pernah dinamakan sebagai ‘Anak Palestin’ oleh Yasser Arafat atas kelantangan beliau membawa perjuangan ini di peringkat global,” katanya dalam kenyataan media pada Isnin.

Menurutnya, Perdana Menteri sangat konsisten memperjuangkan solidariti terhadap rakyat Palestin dan terbukti menerusi usul agar Israel disingkirkan dari keanggotaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Riyadh baru-baru ini.

“Langkah berani ini dilakukan secara terbuka dan jelas membuktikan pendirian tegas beliau terhadap dasar penindasan yang dilakukan oleh Israel.

“Gesaan beliau untuk membantu membina semula Gaza yang telah musnah akibat serangan Israel telah mendapat sokongan yang padu oleh pemimpin negara arab dan Islam,” katanya.

Azman yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri turut menyeru seluruh pemimpin masyarakat untuk melihat perjuangan ini dari perspektif kemanusiaan, dan bukan untuk dijadikan modal politik.

Sebelum ini, wawancara Anwar mengenai konflik Israel-Palestin bersama Richard Quest daripada CNN telah disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi memberi gambaran seolah-olah kerajaan mengiktiraf kewujudan Israel, yang berniat mengelirukan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan Fahmi Fadzil yang juga Menteri Komunikasi berkata video tular tersebut tidak menggambarkan konteks pendirian yang disampaikan Perdana Menteri, iaitu Malaysia akan terus melindungi kewujudan Palestin dan tidak akan pernah sesekali mengiktiraf negara haram Israel.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat