Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan mencampak anak kucing sehingga mati dari tingkat satu di sebuah rumah pangsa di Cheras, Disember lalu.
Tertuduh, Nina Norhaslinda Mazlan, 44, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norina Zainol Abidin.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa mencampak seekor kucing dari tingkat satu sehingga menyebabkan kematian, pada tingkat satu di hadapan sebuah rumah di Flat Sri Sabah, Cheras, pada jam 7.35 pagi 25 Disember tahun lalu.
Memetik laporan Berita Harian, tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 29(1)(c) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang boleh dihukum bawah Seksyen 29(1) akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh didenda tidak kurang dari RM20,000 dan tidak lebih RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kuala Lumpur, Fadzilah Abdul Karim, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada prosiding, hari ini, Fadzilah memohon supaya tertuduh dikenakan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan.
Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan kerana dia hanya suri rumah dan tidak mempunyai pendapatan.
Norina kemudian membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin serta tiada syarat tambahan dan menetapkan tarikh 6 Februari depan untuk sebutan kes bagi lantikan peguam.
Baca juga: