Suri rumah rugi RM60,000 akibat terpedaya skim pelaburan tidak wujud

Seorang suri rumah putih mata, apabila menjadi mangsa sindiket penipuan skim pelaburan cepat kaya sehingga mengakibatkan kerugian hampir RM60,000.

Menurut individu dikenali sebagai Fatimah Esa, 56, dia menemui iklan skim pelaburan Fa Advisory di Facebook dan telah terlibat dalam skim terbabit sekitar sebulan.

Awalnya Fatimah memasukkan bayaran sebanyak RM250 ke nombor akaun yang diberikan oleh admin skim tersebut untuk memulakan pelaburannya.

Selepas 14 melakukan transaksi, Fatimah mula sedar bahawa duit yang dilaburkan itu tidak mendapat apa-apa imbuhan seperti yang dijanjikan.

“Ketua pelaburan itu sering bagi alasan dan minta saya masukkan duit ke dalam akaun yang diberikan berkali-kali.

“Jumlah keseluruhan yang saya masukkan melalui mesin CDM adalah berjumlah RM58,746.50,” katanya.

Sementara itu, menerusi hantaran di Facebook dipercayai milik anak mangsa, Nur Shalwani Shari meluahkan rasa kecewa apabila ibunya tidak serik untuk terus melabur kepada skim tersebut walaupun sudah dinasihatkan berkali-kali.

“Kecewa, marah, sedih, penat semua ada tapi mak masih tak sedar.

“Saya dan suami, Azreen Adam sudah selesaikan urusan kami, yang lebih itu kami berserah kepada Allah,” ujarnya.

Beliau turut menasihati orang ramai untuk lebih berhati-hati dan memantau kegiatan ibu dan ayah agar tidak terjerumus dalam kegiatan skim pelaburan ini atau mana-mana bentuk penipuan yang lain.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat