Suruhanjaya Tenaga Lancar ST-ECE, Sasar 62,000 Tenaga Kompeten Menjelang 2050

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Tenaga (ST) melangkah setapak ke hadapan dalam agenda peralihan tenaga negara dengan melancarkan inisiatif Suruhanjaya Tenaga Energy Competency Excellence (ST-ECE), sebuah platform pembelajaran berterusan bagi memperkasa kemahiran tenaga kerja dalam industri elektrik dan gas berpaip.

Majlis pelancaran yang berlangsung di Bangunan Berlian ST bersempena Minggu Rancakkan MADANI Bersama Malaysiaku telah disempurnakan oleh Ketua Setiausaha Negara merangkap Pengerusi ST, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan keperluan negara melahirkan tenaga mahir yang mencukupi bagi menyokong sasaran tenaga boleh baharu (TBB).

“Negara memerlukan sekurang-kurangnya 62,000 orang kompeten menjelang 2050 bagi menyokong sasaran Tenaga Boleh Baharu (TBB) mencapai 70 peratus atau 56 gigawatt dalam sektor tenaga,” katanya.

ST-ECE diperkenalkan sebagai platform peningkatan kompetensi yang menyediakan tiga modul utama iaitu modul pra-kompetensi, modul pemantapan kompetensi serta modul teknologi baharu yang dirangka seiring perkembangan pesat sektor tenaga.

Shamsul turut menzahirkan penghargaan kepada institusi pendidikan dan tenaga pengajar yang disifatkan sebagai tulang belakang dalam melahirkan tenaga mahir negara.

Pada masa sama, beliau menggesa pihak industri agar memperkukuh kerjasama dengan institusi latihan dan badan kawal selia bagi membuka lebih banyak peluang kerjaya kepada tenaga kompeten.

Majlis pelancaran itu menghimpunkan lebih 150 peserta terdiri daripada agensi kerajaan, institusi bertauliah, industri tenaga, tenaga pengajar dan rakan media.

Pelaksanaan ST-ECE menandakan langkah strategik ST dalam membangunkan tenaga mahir secara berstruktur dan inklusif, sekali gus menyokong transformasi tenaga Malaysia ke arah sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050.

Anda Mungkin Berminat