Suruhanjaya Tinggi Malaysia nasihat rakyat waspada virus nipah di India

NEW DELHI: Rakyat Malaysia yang melancong ke India serta mereka yang menetap di negara itu digesa agar meningkatkan langkah berjaga-jaga susulan penularan virus Nipah.

Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dalam satu kenyataan menasihatkan individu yang berada atau melawat kawasan yang melaporkan kes virus berkenaan supaya memakai pelitup muka di tempat awam bagi mengurangkan risiko pendedahan kepada titisan cecair, selain mengelakkan kawasan sesak sekiranya boleh.

Mereka turut diingatkan supaya mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi, termasuk kerap mencuci tangan, serta mengelakkan pengambilan buah-buahan yang tidak dibasuh atau makanan yang berpotensi tercemar.

Suruhanjaya Tinggi itu memaklumkan pihaknya akan terus memantau perkembangan semasa dan akan menyalurkan maklumat terkini dari semasa ke semasa jika perlu.

Warganegara Malaysia juga digalakkan untuk sentiasa berwaspada dan mematuhi semua langkah pencegahan yang disyorkan demi menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Selain itu, orang ramai dinasihatkan supaya mengelakkan sentuhan dengan haiwan yang sakit serta individu yang menunjukkan gejala seperti demam, sakit kepala, batuk atau kesukaran bernafas.

Kementerian Kesihatan India sebelum ini mengesahkan dua kes jangkitan virus Nipah di negeri timur, West Bengal. Walaupun wabak tersebut dilaporkan berjaya dikawal pada Selasa lalu, situasi itu telah mendorong beberapa negara Asia, termasuk Malaysia, untuk melaksanakan saringan kesihatan terhadap pengembara yang tiba dari India.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), virus Nipah merupakan penyakit zoonotik yang boleh menular daripada haiwan kepada manusia, serta merebak melalui makanan tercemar atau hubungan rapat sesama manusia.

Tempoh pengeraman virus ini lazimnya antara empat hingga 14 hari, dan setakat ini tiada rawatan atau vaksin khusus tersedia bagi manusia mahupun haiwan.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat