Suspek bunuh wanita warga Indonesia di Desa Mentari ditembak mati

Seorang lelaki warga asing berusia 20-an dipercayai suspek kes pembunuhan kejam telah ditembak mati di sebuah rumah flat di kawasan Bukit Subang, Shah Alam, Selangor.

Menurut Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, lelaki itu dipercayai terlibat dengan kes kematian wanita warga Indonesia di Flat Desa Mentari, Sungai Way, Petaling Jaya.

Kata beliau, pihak polis bertindak atas maklumat yang diterima pada 31 Januari lalu sekitar pukul 5.30 petang.

“Satu serbuan telah dijalankan oleh bahagian Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sebuah rumah flat 5 tingkat di kawasan Bukit Subang, Shah Alam.

“Serbuan tersebut bertujuan untuk membuat tangkapan bersabit satu kes bunuh di Sungai Way, Petaling Jaya pada 29 Januari yang lalu melibatkan mangsa seorang wanita bukan warganegara berumur 19 tahun telah dibunuh kejam dengan kesan 8 tikaman,” katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, Hussein turut berkata, hasil siasatan mendapati semasa serbuan dilakukan, suspek telah bertindak agresif dengan menyerang anggota polis menggunakan sebilah parang di tempat kejadian.

“Pihak polis telah melepaskan satu das tembakan bagi mempertahankan diri. Suspek telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dan sebilah parang panjang berukuran 28 sentimeter turut dirampas,” katanya.

Susulan itu, siasatan dijalankan dibawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan. Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi pegawai penyiasat ASP Muhammad Abdul Hafiz bin Sariee di talian 014-8905051.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat