MELAKA: Polis mengesahkan suspek yang terlibat dalam insiden menulis kalimah ALLAH dan Bismillahirrahmanirrahim di sebuah tokong di Persisiran Pantai Siring mempunyai rekod pesakit mental serta mengaku melakukan perbuatan tersebut.
Ketua Polis Melaka, Dzulkhairi Mukhtar, berkata lelaki berusia 39 tahun itu ditahan pada Khamis kira-kira jam 2 petang sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Menurut beliau, kes berkenaan telah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
“Suspek mengaku melakukan perbuatan itu dan kita tidak mahu mengambil risiko memandangkan dia mempunyai rekod sakit mental.
“Justeru, dia dibebaskan dengan jaminan polis dan dihantar ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka, hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata pihak berkuasa tempatan, Majlis Perbandaran Jasin, telah merobohkan tokong berkenaan kerana ia merupakan binaan lama yang tidak berdaftar serta didirikan di atas tanah kerajaan.
“Kita tidak mahu isu ini menjadi polemik. Jika dapat dikesan awal, kita selesaikan secepat mungkin,” katanya.
Dalam pada itu, Dzulkhairi Mukhtar menasihatkan orang ramai supaya tidak memperbesarkan isu melibatkan 3R iaitu agama, kaum dan institusi diraja kerana ia bersifat sensitif.
“Sekiranya terdapat isu berkaitan 3R, orang ramai digalakkan segera melaporkannya kepada pihak polis agar tindakan pantas dapat diambil,” katanya.
Baca juga:








