Orang awam berhampiran dengan premis di Jalan Raja Uda, Butterworth, Pulau Pinang dikejutkan dengan insiden seorang wanita maut dipercayai ditetak dengan menggunakan sebilah parang oleh seorang lelaki.
Dianggarkan kejadian sekitar pukul 11.10 pagi itu menyaksikan mangsa berumur 42 tahun, mengalami kecederaan parah di belakang leher dan bahu dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) sebelum dilaporkan meninggal dunia kira-kira 50 minit kemudian, manakala suspek pula berusia 29 tahun.
Lelaki berkenaan kemudian menunggang motosikal telah dikejar oleh orang ramai yang menyedari insiden itu kemudian bertindak terjun dari Jambatan Pulau Pinang.
Bagaimanapun, usaha suspek melarikan diri gagal apabila dia berjaya diselamatkan nelayan sebelum diserahkan kepada polis.
Kejadian terbabit yang berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan berhampiran hingga tular di media sosial, mengundang reaksi warganet, termasuk pelbagai andaian berkait identiti mangsa dan suspek.
Identiti mangsa dikenal pasti polis yang hari ini memaklumkan, wanita yang maut itu sebenarnya mempunyai hubungan kekeluargaan dengan suspek.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Asri Shafie, berkata siasatan mendapati mangsa adalah ibu saudara lelaki berusia 29 tahun berkenaan yang kini masih menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).
“Kita menahan reman suspek di hospital terbabit. Setakat ini siasatan mendapati si mati adalah ibu saudara suspek. Polis masih menyiasat motif suspek menetak mangsa,” katanya memeti laporan Berita Harian.
Baca juga: