Tindakan pantas polis yang menahan dua lelaki tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan jenayah samun dan melarikan dua ekor anak kucing jenis British Shorthair dan Munchkin dianggarkan bernilai RM10,000.
Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Superintendan M. Hussin Sollehuddin berkata, dalam tangkapan tersebut, polis merampas sebuah telefon bimbit, dua ekor anak kucing, dua beg kucing dan dua kunci kereta dipercayai digunakan semasa kegiatan samun.
“Mangsa berusia 26 tahun membuat laporan polis pada Ahad selepas video mengenai kejadian samun itu tular di media sosial.
“Suspek berusia 27 tahun mempunyai satu rekod lampau, manakala seorang lagi berusia 29 tahun mempunyai empat rekod lampau,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.
Tambah Hussin, kertas siasatan kes berkenaan sudah dilengkapkan dan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya pada 20 Februari lalu.
“Kedua-dua lelaki itu dituduh di Mahkamah Petaling Jaya pada Rabu di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan namun mereka mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya.
Beliau juga menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah aktiviti mencurigakan di daerah ini boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya di talian 03-79662222 untuk tindakan lanjut.
Sebelum ini tular apabila seorang penjual kucing dikenali sebagai Ryan Cheah disamun ketika mengadakan pertemuan dengan dua individu yang katanya ingin membeli dua ekor kucing.
Bagaimanapun, suspek dikatakan menyerang mangsa dengan menetak menggunakan parang sehingga mengakibatkan dia menerima 36 jahitan.
Baca juga: