Suspek kes buli Zara akan didakwa di Mahkamah

KUALA LUMPUR: Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan beberapa suspek yang terlibat dalam kes buli membabitkan pelajar Tingkatan Satu, Allahyarham Zara Qairina Mahathir, akan dituduh di mahkamah.

Dalam kenyataan hari ini, AGC memaklumkan keputusan itu dibuat selepas meneliti kertas siasatan yang dirujuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung kes berkenaan.

“Berdasarkan keterangan yang ada, Jabatan Peguam Negara telah membuat keputusan untuk menuduh beberapa orang suspek yang terlibat dalam kes buli Zara Qairina.

“Keputusan menuduh suspek bagi kesalahan buli tidak akan mengganggu proses inkues yang akan dijalankan di mahkamah,” menurut kenyataan itu.

AGC turut menegaskan bahawa keputusan itu tidak menjejaskan siasatan PDRM yang masih berjalan berhubung punca kematian Zara Qairina, termasuk prosiding inkues yang akan bermula 3 September depan.

Zara Qairina, 13, ditemui tidak sedarkan diri selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga asrama sekolahnya di Papar, Sabah pada 16 Julai lalu sebelum meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth I, Kota Kinabalu.

Jenazahnya digali semula pada 9 Ogos lalu bagi membolehkan bedah siasat dijalankan susulan dakwaan kejadian buli di sekolah.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat