Suspek kes tembak di Setia Alam maut ditembak di Pulau Ketam

PETALING JAYA: Seorang penjenayah dikehendaki maut ditembak selepas berbalas tembakan dengan polis pada Selasa.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, suspek adalah individu yang melepaskan tembakan di pusat beli-belah di Setia Alam baru-baru ini.

Katanya, serbuan dilakukan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama JSJ Selangor di sebuah hotel di Pulau Ketam, Klang, kira-kira jam 3 pagi.

“Suspek berusia lingkungan 30-an mati ditembak dalam insiden itu.

“Polis juga menemui dua pucuk senjata api berisi peluru pada suspek,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Pada 8 Februari lalu, media melaporkan, seorang pekerja pembersihan cedera ditembak lelaki.

Dalam kejadian jam 10.50 malam, suspek menembak seorang pekerja pembersihan ketika sedang menyimpan peralatan mencuci di aras P1 dan cedera terkena empat das tembakan di kaki serta punggung.

Suspek kemudian mengacukan pistol ke arah seorang saksi lain lalu mengarahkan membawanya keluar dari pusat beli-belah berkenaan.

Dia selepas itu menahan Perodua Ativa yang dipandu seorang pengunjung sambil mengacukan pistol, memaksa pemandu membawanya keluar dari kawasan Shah Alam lalu meminta berhenti di tepi lebuh raya sebelum menghilangkan diri.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat