Suspek tahanan Lokap Berpusat Kepayan yang berjaya melarikan diri berjaya ditahan polis selepas tempoh 48 jam menyembunyikan diri.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Shahurinain Jais berkata, suspek dikenali sebagai Nazri Hassan berusia 33 tahun diberkas pada pukul 11.50 pagi pada Isnin.
“Suspek dikesan ketika bersembunyi di sebuah pondok usang di kawasan hutan simpan berhampiran Mimpian Jadi Resort, Tuaran.
“Suspek sudah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya pada pukul 4 petang semalam (Isnin)
“Polis Sabah berterima kasih atas kepada orang awam yang memberikan kerjasama dan maklumat sehingga suspek berjaya diberkas,” katanya.
Terdahulu, suspek yang juga seorang tahanan berjaya meloloskan diri dari Lokap Berpusat Kepayan pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian sekitar pukul 12.30 tengah hari itu, tahanan terbabit dipercayai melarikan diri sewaktu diiring anggota petugas lokap ke bilik siasatan untuk tujuan soal siasat.
Sewaktu melarikan diri, suspek yang direman bermula 10 hingga 18 Disember untuk siasatan mengikut Seksyen 431 A Kanun Keseksaan masih berpakaian lokap berwarna ungu.
Baca juga: