TAWAU: Polis menahan suspek lelaki terlibat kes pecah masuk rumah bersenjata dengan nilai rompakan mencecah RM10,000.
Ketua Polis Daerah Tawau, Jasmin Hussin berkata kejayaan itu hasil intipan dan risikan rapi berjaya menahan individu tersebut dalam lingkungan 23 tahun beserta sebilah pisau beserta sarung dan bearing ‘scraper’ dipercayai digunakan dalam aktiviti jenayah.
“PDRM Tawau menerima satu laporan polis yang mengatakan bahawa rumah mangsa telah dipecah masuk oleh pencuri melalui pintu belakang rumah kerana pagar dan grill mangsa telah dirosakkan.
“Kami mendapati, barang-barang berharga milik mangsa banyak yang hilang dan dianggarkan kerugian adalah sebanyak RM10,000.
“Susulan perkara tersebut, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) IPD Tawau telah dikerahkan untuk mengenal pasti suspek dan satu serbuan telah dibuat di sebuah rumah tidak bernombor di sekitar Tawau,” jelasnya.
Tambahnya lagi, suspek bersama barang rampasan telah dibawa balik ke IPD Tawau untuk tindakan lanjut dan kes akan disiasat dibawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
“Dalam semakan rekod jenayah lampau juga mendapati suspek kerap ditangkap di pelbagai daerah Sabah dan dijatuhkan hukuman berkaitan jenayah dibawah seksyen Kanun Keseksaan,” ujarnya.