Suspek Pembunuhan Charlie Kirk Ditahan Selepas Mengaku Kepada Ayahnya

UTAH: Negara Amerika Syarikat dikejutkan dengan insiden tembakan yang meragut nyawa aktivis konservatif terkenal, Charlie Kirk, ketika beliau sedang berucap dalam satu sesi debat di sebuah universiti.

Kini, selepas operasi memburu selama 33 jam, suspek utama telah ditahan hasil keberanian seorang ayah yang memilih untuk bertindak demi kebenaran.

Memetik laporan BBC News, Tyler Robinson, 22 tahun, ditahan oleh pihak berkuasa pada malam Khamis selepas mengaku kepada ayahnya bahawa dialah penembak dalam insiden tersebut.

Menurut siasatan, Robinson pada awalnya enggan menyerah diri dan menyatakan bahawa dia lebih rela mengakhiri hidupnya sendiri.

“Dia (Robinson) berkata dia lebih rela ambil nyawa sendiri daripada menyerah,” kata pihak polis, memetik pengakuan ayah suspek.

Ayahnya kemudian menghubungi seorang pastor belia yang juga merupakan pegawai keselamatan mahkamah.

Kedua-dua mereka cuba menenangkan Robinson sebelum pastor tersebut menghubungi US Marshals.

Suspek akhirnya ditahan sekitar pukul 10 malam waktu tempatan.

Gabenor Utah, Spencer Cox, mendedahkan bahawa rakaman CCTV menunjukkan Robinson tiba di kampus Universiti Utah Valley kira-kira empat jam sebelum tembakan dilepaskan.

Ketika ditahan, beliau memakai pakaian yang serupa dengan yang dirakam di lokasi kejadian.

Menurut Cox, seorang ahli keluarga suspek memaklumkan bahawa Robinson semakin aktif secara politik sejak kebelakangan ini.

“Dia (Robinson) penuh dengan kebencian dan menyebarkan kebencian,” kata ahli keluarga itu, merujuk kepada kenyataan Robinson tentang kehadiran Kirk ke Utah.

Siasatan turut menemui mesej dari akaun bernama ‘Tyler’ di aplikasi Discord, yang merujuk kepada senapang yang disembunyikan di semak berhampiran kampus.

FBI kemudian menemui senjata jenis Mauser .30-06 yang dibalut dengan tuala, lengkap dengan teleskop.

Lebih mengejutkan, peluru yang ditemui mempunyai ukiran yang berbunyi; “hey fascist! CATCH!” dan “O Bella ciao, Bella ciao” iaitu frasa dari lagu Itali yang sinonim dengan gerakan penentangan terhadap Nazi.

Robinson kini ditahan atas tuduhan membunuh dengan niat jahat (aggravated murder), menghalang keadilan dan melepaskan tembakan secara jenayah.

Pendakwaan rasmi dijangka difailkan pada hari Selasa.

Anda Mungkin Berminat