Susulan Penarikan Sijil Halal Oleh Indonesia, JAKIM Arah Pantau

PUTRAJAYA : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil tindakan segera susulan pengumuman oleh pihak berkuasa Indonesia berhubung penarikan balik beberapa produk makanan yang didapati mengandungi DNA babi (porcine) meskipun telah disahkan halal.

Dalam kenyataan rasmi hari ini, JAKIM memaklumkan bahawa pihaknya memandang serius perkara tersebut dan menyokong penuh tindakan Badan Penyelenggara Jaminan Produk Halal (BPJPH) dan Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM) Republik Indonesia dalam menangani isu tersebut secara tegas dan proaktif.

Berdasarkan siaran media BPJPH pada 21 April lalu, sebanyak 11 ‘batch’ daripada 9 produk telah dikenal pasti mengandungi DNA babi melalui analisis makmal.

Daripada jumlah itu, 9 batch daripada 7 produk memiliki sijil halal manakala 2 batch lagi tidak mempunyai pensijilan halal.

Sehubungan itu, JAKIM mengarahkan pemantauan segera dijalankan di seluruh negara dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri (JAIN) bagi memastikan produk-produk terbabit tidak berada dalam pasaran tempatan.

“Langkah ini adalah tindakan pencegahan awal bagi memastikan keselamatan dan kepercayaan pengguna Muslim di Malaysia terus terjamin,” kata Ketua Pengarah JAKIM, Dato’ Dr Sirajuddin Suhaimee.

Beliau turut menggesa semua pengimport yang terlibat untuk segera menghubungi JAKIM melalui emel rasmi ([email protected]) dan mengambil langkah menarik balik produk terlibat dari pasaran.

Tambahnya lagi, orang ramai juga diminta bekerjasama dengan menyalurkan sebarang maklumat atau aduan berkaitan melalui Sistem Pengurusan Aduan Awam JAKIM (SISPAA) di pautan https://islam.spab.gov.my.

“JAKIM amat komited memastikan hanya produk yang benar-benar mematuhi piawaian halal berada di pasaran, demi memelihara hak pengguna Muslim di negara ini,” katanya.

Anda Mungkin Berminat