SWCorp Keluarkan 42 Notis Kesalahan Buang Sampah Kecil Pada Ambang Tahun Baharu

KUALA LUMPUR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) mengeluarkan sebanyak 42 notis pemberitahuan kesalahan terhadap individu yang didapati membuang sampah kecil di tempat awam sempena sambutan ambang Tahun Baharu, malam tadi.

Menurut SWCorp, notis berkenaan dikeluarkan menerusi Ops Cegah susulan penguatkuasaan penuh kesalahan di bawah Seksyen 77A, Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025, yang mula berkuat kuasa pada jam 12.01 tengah malam tadi.

Operasi itu dilaksanakan secara bersepadu melibatkan anggota penguat kuasa SWCorp dengan kerjasama pihak berkuasa tempatan di 11 lokasi tumpuan utama di negeri-negeri yang menerima pakai akta berkenaan.

“Daripada jumlah itu, 24 kes melibatkan warganegara Malaysia dan 18 kes membabitkan warga asing. Dari segi kategori umur, 40 kes melibatkan golongan dewasa manakala dua kes membabitkan kanak-kanak,” menurut kenyataan SWCorp yang dipetik Bernama.

SWCorp memaklumkan bahawa semua pesalah akan disiasat dan dihadapkan ke mahkamah untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Kesalahan yang dikesan melibatkan perbuatan membuang, menempatkan atau meninggalkan sisa seperti puntung rokok, botol air, tin minuman, plastik tisu dan pembalut makanan di tempat awam serta jalan awam.

Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Pindaan) 2025 yang mula berkuat kuasa hari ini memperuntukkan hukuman perintah khidmat masyarakat sehingga 12 jam dan denda maksimum RM2,000 terhadap individu yang disabitkan kesalahan membuang sampah di tempat awam.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif SWCorp, Khalid Mohamed, menegaskan bahawa penguatkuasaan undang-undang berkenaan terpakai kepada semua pihak tanpa pengecualian, termasuk pelancong asing.

Menurut beliau, tindakan itu bukan bertujuan menghukum semata-mata, sebaliknya untuk mendidik masyarakat agar lebih bertanggungjawab terhadap kebersihan persekitaran dan mengubah sikap daripada membuang sampah sesuka hati.

“Antara bentuk hukuman khidmat masyarakat termasuk mengutip sampah, membersihkan tandas awam dan longkang, selain pesalah diwajibkan memakai ves bertanda ‘khidmat masyarakat’,” katanya.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat