DRAMA popular, Seadanya Kita mencetuskan fenomena apabila menduduki tangga teratas tontonan Viu di Malaysia dan berada di kedudukan kedua di Indonesia makin diperkatakan ramai peminat.
Gandingan Emma Maembong dan Mierul Aiman dalam drama itu menjadi perhatian netizen yang menganggap keserasian mereka sangat “sweet” dan berjaya menghidupkan jalan cerita.
“Bila saya tengok part gandingan mereka sahaja mesti saya akan tepuk bantal dan senyum sendirian,” kata seorang peminat, Yasha Nabila di TikTok.
Peminat turut beranggapan bahawa keserasian Emma dan Mierul buat penonton rasa dekat dengan watak selain lakonan mereka yang kelihatan semula jadi.
“Kita pulak yang ‘blushing’ tengok dorang berdua,” kata seorang peminat, stan_222 dalam ruangan komen drama itu.
Tidak lupa juga kepada peminat di Indonesia yang teruja untuk menantikan sambungan drama tersebut.
“Bila tayang episod seterusnyaa..,” kata seorang peminat dari Indonesia, Faula Julistina di ruangan komen.
Fenomena ini turut diterjemahkan dengan jumlah tontonan tinggi di platform penstriman, selain menjadi topik hangat di TikTok dan X (Twitter) menerusi pelbagai suntingan video peminat.
Selain kisah cinta yang menyentuh hati, kekuatan jalan cerita serta arahan kemas pengarah berpengalaman, Feroz Kader menjadi faktor drama itu berjaya menambat hati penonton.
Emma sebelum ini dikenali dengan watak romantik, manakala Mierul mula mencipta nama menerusi drama bersiri popular sejak dua tahun lalu. Gandingan mereka dianggap sebagai kombinasi generasi pelakon berpengalaman dan bintang baharu.
Drama Seadanya Kita diterbitkan oleh syarikat produksi tempatan dengan kerjasama platform penstriman serantau yang mengisahkan pengorbanan dalam percintaan dan nilai keluarga, sekali gus memberi sentuhan emosi yang dekat dengan kehidupan sebenar.
Baca juga:








