Syahredzan dakwa Takiyuddin keliru isu pelantikan pemangku Ketua Hakim Negara

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan membidas kenyataan Ketua Whip Perikatan Nasional, Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang mempertikai pelantikan Hakim Besar Malaya, Tan Sri Hasnah Datuk Mohammed sebagai pemangku Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.

Menurut beliau, kenyataan Takiyuddin tidak berlandaskan kefahaman undang-undang yang tepat dan boleh mencetuskan kekeliruan awam terhadap proses peralihan dalam institusi kehakiman negara.

“Pelantikan tersebut adalah selaras dengan Seksyen 9 Akta Mahkamah Kehakiman 1964 yang dengan jelas menyatakan bahawa dalam keadaan kekosongan dua jawatan tertinggi kehakiman, tanggungjawabnya akan dipangku oleh Hakim Besar Malaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Syahrezan berkata, sebagai seorang peguam kanan, Takiyuddin seharusnya lebih arif tentang peruntukan tersebut dan tidak membuat kenyataan yang boleh mencetuskan persepsi negatif terhadap institusi kehakiman.

Beliau juga menolak dakwaan kononnya terdapat kelewatan dalam pelantikan Ketua Hakim Negara, dengan merujuk kepada situasi pada tahun 2019 apabila pengganti kepada Tun Richard Malanjum hanya diumumkan hampir tiga minggu selepas persaraannya.

“Adalah tidak wajar untuk mendakwa kelewatan berlaku hanya selepas beberapa hari kekosongan jawatan ini,” katanya.

Tambah beliau, semua pihak perlu menghormati proses pelantikan yang melibatkan kuasa dan pertimbangan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Apa yang lebih utama ialah memastikan individu yang bakal mengisi jawatan itu nanti benar-benar berwibawa dan mampu mempertahankan kebebasan serta integriti institusi kehakiman negara,” katanya lagi.

Baca juga:

Anda Mungkin Berminat