PETALING JAYA: Dua ahli Parlimen DAP, Syahredzan Johan dan Young Syefura Othman, mengumumkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul dari Bersatu, Jasri Jamaludin, yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah terhadap mereka di media sosial.
Dalam kenyataan bersama hari ini, mereka mendakwa Jasri menyebut mereka sebagai “sukarelawan untuk jadi pembelot bangsa”, satu tuduhan yang dianggap serius dan tidak berasas.
“Kami memandang serius perkara ini kerana sebelum ini kami sentiasa menjadi sasaran fitnah daripada pengikut Perikatan Nasional (PN) di media sosial.
“Namun, tidak kami sangka perangai sedemikian turut ditunjukkan oleh seorang wakil rakyat.
“Kami juga kecewa kerana kenyataan ini dibuat sejurus berakhirnya bulan Syawal, oleh seorang wakil rakyat beragama Islam,” kata mereka.
Susulan itu, Syahredzan dan Young Syefura, atau juga dikenali sebagai Rara, memaklumkan bahawa mereka akan mendapatkan nasihat peguam dan mengambil tindakan undang-undang terhadap Jasri.
Mereka turut menggesa pemimpin dan wakil rakyat PN agar lebih berdisiplin dalam membuat kenyataan awam, dengan mengingatkan tentang beberapa kes saman fitnah sebelum ini yang mengakibatkan kerugian besar.
Antaranya, pada Disember lalu, Ahli Parlimen PAS, Siti Mastura Muhammad, diperintah mahkamah membayar ganti rugi RM750,000 kepada tiga pemimpin DAP – Lim Kit Siang, Lim Guan Eng, dan Teresa Kok – susulan dakwaan mengaitkan mereka dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Sementara itu, pada Februari lalu, Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, menasihatkan pemimpin parti agar menyemak fakta sebelum mengeluarkan sebarang kenyataan bagi mengelakkan saman fitnah serta menjaga nama baik parti.
Beliau turut mengingatkan bahawa kenyataan peribadi boleh memberi kesan kepada reputasi parti, terutamanya jika individu terbabit memegang jawatan dalam parti.